Monday, May 4, 2009
Buku apa yang saya baca?
NAGUIB MAHFOUZ
Pemenang Hadiah Nobel bagi kesusasteraan 1988
Bermula dan berakhir
Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka 1993
Buku bermula dan berakhir ini ialah terjemahan daripada buku The Beginning and the End oleh Naguib Mahfouz dan diterbitkan oleh The American University in Cairo Press, 113 Sharia Kasr el Aini, Cairo , Egypt. Buku ini juga tersenarai di dunia antara 1001 of books that you must read before you die!
Naguib Mahfouz seorang penulis yang tidak asing di bumi Mesir. Karya-karyanya begitu jelas memperlihatkan pemerhatiannya yang mendalam terhadap kehidupan golongan pertengahan Mesir yang sangat mementingkan kesejahteraan kebendaan, kebimbangan tentang masa depan mereka, kepatuhan terhadap sistem dan keengganan mereka mencabar pihak yang berkuasa atau pihak yang berwibawa pada masa itu
.
Beliau yang juga penuntut dalam bidang Falsafah di Universiti sekular di Kaherah telah mengkritik beberapa dasar kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sidki melalui penulisannya.
Naguib Mahfouz menyedari bahawa penentangan secara terbuka terhadap kuasa autokrasi adalah sia-sia sahaja, beliau telah berjaya mencipta suatu kaedah bercerita yang dapat membayangkan kecaman terhadap sistem pemerintahan itu tanpa membahayakan kepentingan atau kemungkinan menghadapi risiko menentang pihak yang berkuasa
Novel setebal 662 mukasurat ini pada fikiran saya mempunyai satu jatidiri dan matlamat sebenar penulis sebenarnya yang ingin mengheret kita untuk turut sama berfikir dan merenung perihal masyarakat pertengahan yang hidup dengan kesulitan, ancaman dan kecaman terhadap kemiskinan yang menghantui mereka
Novel ini punyai beberapa watak yang saya kira cukup menarik dan punya ciri-ciri serta karakter mereka yang tersendiri. Dalam novel ini, penulis menceritakan tentang perubahan kehidupan yang terpaksa dihadapi oleh sebuah keluarga yang telah kematian ayah mereka. Kematian ayah mereka yang juga merupakan pegawai kerajaan ibarat suatu kehilangan yang tak terkira buat mereka. Mereka merasakan seolah-olah telah hilang dahan tempat berteduh dan yang tersisa adalah ranting-ranting tua untuk mereka menumpang hidup.
Dalam kehidupan masyarakat Mesir sekitar tahun 40an, sesebuah keluarga yang mempunyai ahli keluarga yang berpangkat pegawai kerajaan dikira cukup berstatus dan amat dihormati masyarakat. Kehidupan keluarga itu boleh dikatakan mewah dan senang berbanding keluarga yang lain.
Samirah, Hasan, Nafisah,Hussin, dan Hassanein telah kehilangan tonggak hidup mereka iaitu Kamal Effendi Ali. Samirah , seorang isteri berasakan betapa peritnya untuk meneruskan kehidupan kerana di atas pundaknya kini tergalas tanggugjawab dan harapan besar untuk dia membesarkan anak-anaknya. Meskipun Hasan sudah besar dan selayaknya menggantikan tempat ayahnya memikul tanggugjawab sebagai ketua keluarga, sayangnya Samirah tidak dapat bergantung harap padanya kerana Hasan adalah anak yang digelar 'kambing hitam' di dalam keluarganya. Hasan anak yang pemalas akibat terlalu dimanjai oleh bapanya sewaktu bapanya masih hidup. Hidup sebagai kutu jalan, merompak, berjudi, bergaduh dengan samseng-samseng jalanan dan kaki perempuan, Samirah tambah menderita kerana anak sulongnya merupakan beban yang menyedihkan buatnya.
Nafisah anak gadisnya yang kedua diceritakan penulis sebagai gadis yang tidak cantik dan tidak berpendidikan. Sebaik sahaja kesusahan mendatangi mereka, Nafisah terpaksa membantu menyara keluarganya dengan bekerja sebagai tukang jahit. Meskipun, pada zaman kita pekerjaan sebagai tukang jahit adalah pekerjaan yang masih baik di mata masyarakat Malaysia, di Mesir, tukang jahit merupakan suatu pekerjaan yang amat memalukan. Samirah berasa sangat gundah andai dia tidak mampu mengahwikan Nafisah dengan mana-mana lelaki kerana status keluarga mereka yang kini hidup seperti kais pagi makan pagi kais petang makan petang.
Nafisah yang berasa putus asa dengan kekurangan rupa paras dan pendidikannya begitu sedih memikirkan dirinya yang tidak dicintai mana-mana lelaki. Lantas, dia mengambil keputusan menerima cinta Soliman yang berminat terhadapnya. Soliman yang bekerja kedai hakikatnya hanya ingin bermain cinta dengan Nafisah dan akhirnya berjaya membuatkan Nafisah menyerahkan jiwa raganya kepada Soliman. Soliman berkahwin dengan seorang gadis lain dan tinggallah Nafisah dalam rundung hati dan jiwa yang kacau dek kebodohannya membiarkan diri terjerumus dalam dosa.
Saat merasakan diri sudah tiada nilainya, Nafisah membiarkan gelora nafsu menguasai diri dan terus bergelumang dalam dosa dengan mana-mana lelaki yang menghampirinya.
Kehidupan Nafisah yang sedemikian adalah di luar pengetahuan Samirah. Samirah begitu bertungkus lumus bekerja untuk memastikan anak-anak harapannya Hussin dan Hassenein berjaya mendapatkan ijazah masing-masing. Hussin merupakan watak yang amat saya sukai kerana karakternya begitu mengkagumkan seperti yang diceritakan penulis. Pemuda yang tenang, baik hati, bersungguh-sungguh dalam pelajaran, amat kasih kepada ibu dan adik beradiknya, dan amat memahami penderitaan ibunya ini merupakan pelajar yang pintar dan aktif di universitinya. Tidak seperti adiknya Hassanein, Hussin amat pemalu dengan wanita dan amat berhati-hati dalam pergaulan sehariannya.
Hussin menyukai Bahia, jirannya tetapi adiknya Hassanein telah mendahuluinya kerana dia terlalu malu hatta untuk memandang gadis itu. Usai tamat pengajian universitinya, dia telah mengorbankan cita-citanya untuk meyambung pelajaran dan hanya bekerja sebagai kerani demi untuk membantu ibunya dan melihat hassanein melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.Menariknya Hussin ini, di mana-mana jua dia berada, akhlaknya cepat memikat hati manusia. Walaupun dirinya dipinang oleh Encik Hassan Affendi untuk anak gadisnya, Hussin terpaksa menolak kerana khuatir perkahwinannnya kelak akan menyebabkan dia terbeban lebih-lebih lagi dia bertanggugjawab kini untuk menampung hidup ibu dan adik-beradiknya. Tambahan pula, dia mahukan Hassenain berkahwin dengan Bahia kerana mereka berdua telah ditunangkan oleh kedua-dua buah keluarga.
Hassanein, pemuda kacak seperti abangnya. Saya kira dia adalah watak utama kerana hampir pada keseluruhan cerita mencirikan karakternya dengan begitu terperinci sekali. Pintar, berani, manis mulut dengan wanita, degil untuk memastikan hasratnya dipenuhi, bercita-cita besar, benci kepada kemiskinan...watak Hassanein sebenarnya mencerminkan majoriti masyarakat di zaman kita yang begitu mengkagumi kemegahan, kemewahan, pangkat dan status hidup yang tinggi. Hassanein amat meyintai Bahia meskipun telah merentangi adat dan budaya masyarakat Islam Mesir ketika itu dengan menyatakan cintanya kepada Bahia secara terang-terangan dan meminang Bahia daripada tangan Farid Effendi sendiri,ayah Bahia.
Lamaran cinta Hassanein bagaimanapun amat disenangi Bahia kerana pada fikir gadis itu, Hassanein cukup meyintainya. Namun begitu, apa yang paling saya kagumi pada sifat Bahia adalah pada sifat malunya dan berpegang teguh pada prinsip hidupnya untuk menyerahkan jiwa dan raganya hanya untuk seseorang lelaki selepas berkahwin sahaja. Pada zaman masyarakat Mesir tika itu yang kian dipengaruhi cara hidup barat, berkasih antara teruna dan dara juga telah melangkaui adat dan prinsip agama. Pergaulan dan trend remaja yang berkasih tika itu ibarat trend remaja kita pada masa kini yang tidak segan silu seperti pasangan suami isteri lagaknya.
Hassanein yang begitu terpengaruh dengan cara hidup yang demikian amat kecewa dengan prinsip hidup Bahia yang tidak boleh di'sentuh' meskipun mereka sudah bertunang. Hassanein dalam kekecewaanya masih mengasihi Bahia. Namun, setelah dia berjaya keluar dari Maktab Tentera dan menjadi pegawai tentera, hatinya mulai tawar dengan Bahia dan mulai berkehendak untuk hidup bersama gadis yang moden dan berstatus tinggi seperti anak gadis Tuan Ahmad Bey, seorang hartawan Mesir yang juga kawan baik ayahnya.Jiwa Hassanein untuk keluar dari kepompong hidup lamanya kian membara.
Mereka sekeluarga telah berpindah ke rumah yang lebih baik. Hassanein melarang keras ibunya untuk tidak lagi kembali ke rumah lama mereka yang buruk dan tidak lagi berjumpa dengan sahabat-sahabat lama ibunya yang miskin. Nafisah juga telah disuruh berhenti kerja sebagai tukang jahit dan mereka memiliki pembantu rumah sendiri.
Hassanein akhirnya mengambil keputusan memutuskan pertunangannya dengan Bahia. Keluarganya begitu terkejut begitu juga keluarga Bahia sendiri. Hussin, abangnya begitu sakit hati mengetahui akan putusnya pertunangan adiknya mengambil keputusan menjadikan diri sebagai pengganti untuk mengambil Bahia sebagai isterinya. Saya merasakan betapa perancangan Allah itu begitu cantik sekali kerana sesungguhnya wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan begitu juga sebaliknya. Meskipun Hussin pada asalnya telah beralah Bahia untuk adiknya, tetapi Allah kembali menakdirkan bahawa Bahia adalah untuknya.
Hassanein yang agak terkejut dengan apa yang dilakukan Hussin meneruskan cita-citanya meminang anak gadis Tuan Ahmad Bey tetapi peminangannya telah ditolak.Kekecewaan Hassanein bertambah parah apabila mengetahui peminangannya ditolak kerana Tuan Ahmad Bey telah mengetahui cara hidup abang sulongnya yang hidup membunuh orang dan menghisap ganja. Dan apa yang lebih memalukan dirinya apabila kakaknya, Nafisah ditangkap polis ketika sedang melacurkan diri!
Hassanein merasakan harapannya untuk melihat mereka sekeluarga dihormati masyarakat disekelilingnya telah musnah saat segala rahsia hodoh keluarganya telah sampai ke pengetahuan masyarakat dan kawan-kawan seangkatannya.
Atas rasa kecewa yang tak tertanggung dan harapan menggunungnya yang telah berkubur, dia telah menjadi penyebab kakaknya, Nafisah membunuh diri dengan terjun ke dalam sungai Nil. Nafisah yang berasa malu dengan dasyat saat adiknya dikabarkan kerja 'aib' yang dilakukannya, berjanji untuk mengembalikan maruah adikya dengan membunuh diri.Hassanein berasa lega ketika kakaknya mengambil keputusan membunuh diri dan dia menjadi saksi dengan mata kepalanya sendiri saat kematian kakaknya tanpa menghalang perkara itu daripada berlaku .
Babak terakhir novel ini saya kira begitu menyakitkan hati kerana saat Hassanein tersedar dari khilafnya membiarkan jasad kakaknya menjadi mayat, dia menebus kesilapan dirinya dengan membunuh dirinya pula! Entah apa dalam kotak fikiran si Hassanein tetapi yang jelas dia telah berlaku zalim bukan sahaja kepada kakaknya tetapi kepada dirinya sendiri dan lebih teruk lagi dia berlaku zalim pada ibunya yang berkorban hidup untuk melihat kejayaanya.
Novel ini satu sindiran sinis pada masyarakat tipikal yang menggilai duniawi dan meninggalkan keyakinan kepada Allah swt. Dari pemimpin yang bobrok telah melahirkan masyarakat yang kurang percaya kepada ketentuan takdir...mereka tegar menyaksikan rakyat berhidup melarat dan mengizinkan rasuah dan kapitalis berleluasa.
Saya yakin cerita seperti ini bukan cerita dongengan. Malahan ia mungkin antara satu kisah dari jutaan kisah hidup masyarakat tidak kira samada di bumi mana. Hatta saya amat yakin di Malaysia jua, kisah seperti ini tidak asing sama sekali. Kisah malang keluarga ini mengheret saya ke dalam perjalanan emosi yang menyakitkan. Akan betapa peritnya untuk hidup dan betapa besarnya nikmat Allah kepada diri dan keluarga kerana masih punya rezki yang murah dan baik-baik sedang ada manusia yang diuji Allah dengan kelaparan dan kemelaratan hidup yang berpanjangan!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment